Kadir Menulis Tanpa Fakta

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin baru sahaja menulis tentang 'padah feudalisme Melayu'.

Kadir boleh meluahkan kemarahannya terhadap sebarang isu dalam negara ini.

Namun, amarah itu bukan lesen untuk mengeluarkan penulisan secara cuai.

Dalam 20 poin yang ditulis Kadir, peluru yang sepatutnya ditembak kepada golongan elit politik akhirnya terkena kaki sendiri.

Fakta yang salah, kenyataan yang menghina orang Melayu dan penulisan yang cuba menghentam institusi diraja.

Kadir menulis bahawa Najib mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2023.

Hakikatnya, Najib masuk penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Kesalahan dalam isu yang diikuti seluruh negara menunjukkan Kadir menulis dengan penuh emosi amarah tanpa menyemak sebarang fakta.

Kadir juga melonggokkan isu Felda, Tabung Haji dan 1MDB dengan Najib, seolah-olah semuanya sudah diputuskan bekas Perdana Menteri itu bersalah oleh mahkamah.

Kemudian Kadir cuba mengukur kedudukan Najib dengan prestasi pilihan raya.

Memang benar Najib ialah Presiden UMNO ketika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa buat pertama kali pada 2018.

Namun, jika Kadir mahu menjadikan pilihan raya sebagai kayu ukur kehebatan seseorang pemimpin, dia patut melihat Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 2022.

Mahathir, bekas Perdana Menteri dua kali, hanya mendapat 4,566 undi di Langkawi, kira-kira 9.5 peratus dan hilang wang deposit.

Gerakan Tanah Air yang dipimpin oleh Mahathir bertanding di 125 kerusi dan kalah semuanya, dengan undi popular hanya 0.7 peratus.

Soalan untuk Kadir, apakah gelaran untuk pemimpin yang tidak mampu mempertahankan wang deposit sendiri dan kubu kuat yang pernah dipertahankan selama beberapa dekad sebelum itu?

SUMBER: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2140517

Ada isi kandungan tulisan Kadir paling memualkan.

Mereka yang mencuri adalah golongan elit, tetapi Kadir seolah-olah menyalahkan rakyat.

Menurut Kadir, orang Melayu 'menderita penyakit minda', 'kurang ilmu', dan terlalu 'daif dan naif' sehingga menjual undi untuk RM100 dan sekampit beras.

Kadir tidak menghentam pemberi rasuah politik, tetapi mengejek orang miskin yang menerimanya.

Lebih memalukan, Kadir mendakwa ramai wanita menyokong Najib kerana bekas Perdana Menteri itu 'kacak'.

Tiada tinjauan, tiada data, tiada sumber, cuma anekdot kedai kopi yang merendahkan pengundi wanita.

Itu bukan analisis politik namun gosip yang terselindung di sebalik nama 'hujah'.

Ironinya, Kadir tidak membangkitkan nama Mahathir dalam gosipnya itu.

Pada 1970, dalam The Malay Dilemma, Mahathir menghuraikan kelemahan orang Melayu sehingga menyentuh soal keturunan dan persekitaran. Di pentas Perhimpunan Agung UMNO, Mahathir membacakan sajak Melayu Mudah Lupa.

Pada 6 Oktober 2019, ketika menjadi Perdana Menteri, Mahathir berdiri di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam dan menuduh orang Melayu tidak mahu kerja keras dan tidak mahu kerja susah.

Kadir kini menambah label baharu dalam koleksi itu iaitu 'Melayu sakit minda'.

Namun jika Melayu benar-benar malas, mudah lupa dan sakit minda, bagaimana ketika PRU-15, apabila ramai  pengundi Melayu Langkawi menolak Mahathir sehingga hilang wang deposit?

Nampaknya orang Melayu tidak lupa apa-apa. Mereka ingat ingat siapa yang menghina mereka dan dihukum di peti undi.

SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/10/07/provokasi-dr-mahathir-melayu-malas-sudah-tidak-relevan

Kesilapan paling berbahaya Kadir adalah mengheret institusi diraja ke dalam hujahnya.

Kadir terlupa bahawa kuasa pengampunan diberikan oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Lembaga itu dianggotai Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan anggota lain.

Jika Kadir benar-benar mahu menekan pengampunan Najib, sasarannya jelas. Tuntut ketelusan Lembaga Pengampunan.

Persoalkan asas undang-undang tahanan rumah di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995.

Desak kerajaan mendedahkan kos kepada pembayar cukai, seperti yang dituntut Majlis Peguam.

Sebaliknya, dia memilih jalan pintas dengan menyalahkan 'feudalisme', satu pendekatan yang tidak tepat dan berisiko di bawah Akta Hasutan 1948.

Kadir juga melemparkan dakwaan bahawa 'banyak yang bersubahat secara langsung' tanpa satu nama atau rujukan mahkamah.

SUMBER: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2026/09/23/najibs-house-arrest-explained-10-questions-about-pardons-prison-powers-and-what-happens-next/236149

Kritikan yang tajam memerlukan fakta yang tepat selain menunjukkan rasa hormat kepada rakyat.

Kadir gagal dalam kesemua aspek itu.

Kesilapan tarikh, kes dicampur aduk, orang Melayu dihina dan institusi Raja diheret.

Lebih ironik, Kadir menilai Najib dengan kayu ukur pilihan raya tetapi lupa bahawa Mahathir pada PRU-15 tidak menang satu kerusi pun untuk gabungannya dan hilang deposit di kubunya sendiri.

Kadir juga mengulang skrip lama Mahathir yang gemar melabel Melayu malas dan mudah lupa, skrip yang sudah pun ditolak oleh pengundi Melayu.

Padah sebenar dalam tulisan ini bukan feudalisme Melayu.

Padahnya adalah kritikan yang ditulis dengan amarah tanpa disiplin sebagai seorang penulis berpengalaman.

Jika Kadir benar-benar mahu rakyat sedar, mulakan dengan menghormati kecerdikan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Pejuang, Bersatu Tidak Membawa Idea Baharu

Sekali Lagi Muhyiddin Terpalit Skandal Wang

Dari Awal MUDA Dipenuhi Kontroversi